
Apabila berada di jalanraya, kita sudah tentunya akan melihat kenderaan paling popular di seluruh dunia pada hari ini, iaitu kereta. Namun, pernahkah kita terfikir sejenak tentang bagaimana kenderaan ini dapat memberi pengajaran yang berguna kepada kita terutamanya dalam mengenali tujuan hidup kita?
Sejarah mencatatkan bahawa penciptaan kereta bermula di Perancis pada tahun 1769. Di sana ia dipanggil dengan nama "Automobile" yang bermaksud kenderaan yang bergerak dengan kuasanya sendiri. Lazimnya kenderaan ini terdiri daripada gabungan komponen enjin, tayar, gear, stereng dan tempat duduk untuk pemandu dan penumpangnya. Dari zaman ke zaman, rekabentuk dan teknologi pembuatannya telah meningkat kepada mutu yang lebih baik. Namun, fungsi asas kereta tetap sama iaitulah untuk membawa penggunanya dari satu tempat ke tempat yang lain.
Pada hari ini, setiap model kereta yang diedarkan di pasaran telah melalui proses yang canggih dan teliti. Hampir setiap komponen kereta mengalami penambahbaikan agar ia dapat memberi kepuasan kepada penggunanya. Proses penambahbaikan mutu kereta sebenarnya adalah sesuatu yang mencabar pihak pengeluarnya. Bayangkan sebuah model kereta yang akan dipasarkan untuk kegunaan pemandu di seluruh pelusuk dunia. Pengeluar kereta tersebut mestilah memastikan bahawa kereta yang dihasilkannya dapat berfungsi dengan cemerlang walau di benua mana sekalipun ia dipandu.
(bersambung)